Assalamualaikum dan salam mahabbah.
Seperti dijanjikan saya akan cuba mengulas apa yang perlu dilakukan sebenarnya oleh pelajar-pelajar lepasan SPM sementara menunggu keputusan mereka. Ini hanyalah cadangan berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan yang lalu.
1-Tambahkan Kemahiran
Antara kebiasaan pelajar lepasan SPM lakukan ialah mencari kerja. Kerja part-time, kerjadi pusat beli-belah (Jusco, Giant dsb.) adalah antara yang popular, kerana ia menjanjikan gaji lumayan selain mudah tanpa perlu kelulusan tinggi. Tetapi, fikir sejenak, adakah sehari-hari kita duduk di kaunter dan mengisi barang dalam plastik, mengira jumlah dan harga barangan memberi kita kemahiran? Mungkin ada, tetapi tidak banyak.
Walaupun kita mencari kerja untuk cuba merasai 'wang titik peluh sendiri', pilihlah pekerjaan yang memberi nilai tambah pada kita, spt. bekerja di nursery pokok yang mengajar kita menanam, menjaga dan memetik hasil tanaman, dan juga tentang cara membiakkan pokok. Salah satu contoh. Ataupun boleh juga kita menghadiri kelas-kelas kelolaan GiatMara yang mengajar pelbagai kemahiran. Sudahlah diajar secara percuma, dapat lagi elaun bulanan!
Luaskan skop pekerjaan yang anda lihat. jangan lihat pada gaji yang bakal didapati, tapi lihatlah kemahiran yang bakal anda perolehi. Mana tahu dengan kemahiran itu anda dapat membuka perniagaan sendiri dewasa nanti?
2- Bina Networking
Salah satu perkara yang selalu pelajar lepasan SPM terlepas pandang ialah masa yang ada boleh diisi dengan membina networking. 
Apa itu membina networking?
Networking merupakan membina rangkaian kenalan dalam apa-apa jua bidang atau pekerjaan. Kemahiran ini adalah yang WAJIB dimiliki oleh ahli-ahli perniagaan kerana dengan membina networking, ia dapat membezakan antara untung atau ruginya perniagaan mereka. Meluaskan rangkaian kenalan bukan sahaja membolehkan kita menambah kenalan, malah dapat dijadikan batu sandaran jika ada apa-apa masalah berlaku.
Katakanlah anda orang dari Perak, dan datang ke Melaka dengan kereta untuk menyahut seruan kerajaan "Melawat Melaka bererti Melawat Malaysia." Tiba-tiba kereta anda rosak di tengah jalan. Saudara terdekat anda berada paling dekat pun di Kuala Lumpur. Anda pun pening kepala.
Tiba-tiba anda teringat seorang rakan anda yang baru dikenali semasa pergi ke Konvensyen Pemikiran Hassan Al-Banna (KOBANNA) tempoh hari, berasal dari Melaka. Anda pun menelefonnya, dan dia pun datang membantu. Selesailah masalah anda, dan anda pun dapat meneruskan perjalanan menyahut seruan kerajaan. Mudahkan? Inilah kelebihan membina networking. Anda tidak perlu bimbang bila kesulitan menimpa kerana anda mempunyai kenalan di mana-mana.
Cara membina networking yang baik:
i) Bina kenalan yang berhampiran dengan anda spt dengan Imam surau, Bilal, ketua kampung (kalau ada), pekedai runcit dan lain-lain. Bina dahulu keyakinan untuk berkomunikasi.
ii) Hadiri seminar-seminar atau kem-kem pembangunan diri (spt anjuran PEMBINA)
iii) Sertai laman-laman sosial online spt. Facebook, tetapi perlulah ada dan tahu batasan di sisi syara'.
Hati-hatilah dalam mencari kawan, sebaik-baiknya carilah kawan yang membina personaliti kita, bukan meruntuhkan personaliti.
3- Ulangkaji Pelajaran
Antara masalah yang selalu berlaku di pusat-puasat matrikulasi atau pusat-pusat persediaan ialah: "Saya lupa apa yang saya belajar time SPM dulu"
Inilah antara penyebab utama mengapa jaguh-jaguh SPM yang begitu hebat di sekolah ramai yang kecundang di universiti. kerana tidak mengulang kalji pelajaran, walaupun sedikit, mereka berhadapan masalah untuk mengikuti balik pelajaran mereka. Pentingnya mengulangkaji semula pelajaran SPM ini adalah kerana apa yang bakal anda pelajari di matrix atau pusat persediaan adalah sama dengan apa yang anda belajar sewaktu SPM dulu. Jangan ingat anda akan faham dengan mudah di pusat pengajian tinggi selepas 6 bulan duduk di rumah. Kefahaman yang teramat salah sama-sekali.
Jadi, jika anda berbaring-baring di dalam bilik dan ternampak buku-buku rujukan SPM yang tebal-tebal itu, apa salahnya anda membelek-belek semula apa yang anda pernah pelajari. Ataupun jika boleh, buat kajian tentang apa yang bakal anda pelajari di IPT kelak.
Percayalah, anda tidak akan menyesal di kemudian hari.
4- Bina Keimanan dan Taqwa kepada Allah S.W.T
Inilah sebenarnya yang paling penting. Dulu sewaktu SPM, ibaratnya kitalah orang yang paling hampir dengan Allah dengan solat berjemaah, solat malam, solat hajat, doa yang penuh khusyuk dan khudu', bacaan Al-Quran setiap hari dan lain-lain. Semuanya kerana SPM. tapi dimanakah kita sekarang? Adakah masih berjemaah agaknya? Adakah masih istiqamah membaca Al-Quran dan solat malam? Tepuk dada tanyalah iman.
Inilah waktu yang sebenarnya menguji iman kita. Siapalah kita yang baru lepas SPM dibandingkan dengan Allah S.W.T? Mungkin sebelum keluar result SPM lagi, Allah akan menarik balik nyawa kita. Pernah terfikir?
Oleh itu, isilah masa lapang kita ini dengan memperbanyakkan amalan soleh, dan JANGAN sekali-kali menjauhkan diri jika ada yang prihatin tentang kita, jika ada yang mengajak untuk ke program-program membina keimanan pada Allah, spt. usrah, daurah (kursus), jaulah (kembara), mukhaiyam (perkhemahan) dan sebagainya. Yakinlah bahawa kita dipilih oleh Allah untuk mengangkat Agama Islam ini untuk kembali ke tempat yang asalnya, iaitu mengatasi segala yang lain!!
Wallahu'alam, Allah lebih Mengetahui.
Salam beramal.
Sunday, January 31, 2010
Cernaan Minda - Lepasan SPM (2)
Labels: Student's Life
Posted by fadhil at 11:32 AM 0 comments Links to this post
Saturday, January 16, 2010
Cernaan Minda: Lepasan SPM (1)
Salam bersahabat untuk semua. Marilah kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpahan kurnia-Nya, masih lagi kita dipanjangkan usia sampai ke hari ini. Semoga setiap saat masa kita sentiasa terisi dengan kebajikan disisi-Nya, insya-Allah..
Bercakap mengenai masa, diri ini teringat akan waktu lepas SPM, iaitu masa yg pada pendapat saya: "masa berkualiti yang terbuang."
Inilah waktu sebenarnya iman kita teruji, walaupun setelah hampir 5 tahun menigut pelbagai kegiatan keagamaan mungkin di sekoplah atau di mana-mana sahaja, kerana pada masa inilah, sebenarnya kita meningkat matang.
Seharusnya mereka yang sedang bercuti panjang (sengaja saya tidak menggunakan 'berhenti sekolah', kerana ia membawa maksud tamat belajar yg sedikit negatif), terutama lepasan SPM, STPM ataupun STAM, hendaklah diisi dengan kegiatan yang memberi nilai tambah pada diri kita.
Sebelum melangkah lebih jauh, marilah kita membaca tulisan bertajuk "Episod 76: Keliru Memilih Masa Depan." Sebuah tulisan yang amat menarik untuk mendapat asas kehidupan lepas SPM...
_____________________________________________________
Dipetik daripada tulisan sdr. Akmal Hakim (link)
Episod 76: Keliru Memilih Masa Depan
“Allah menguji hambaNya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang ke luar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang ke luar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah)” (HR. Ath-Thabrani)
“Aku bukannya minat melukis pun”, kata seorang rakan jurusan seni bina.
“Aku bukannya kreatif pun. Kalau kira-kira ni boleh la”, tambah seorang lagi.
Dalam keadaan suka duka menerima keputusan SPM, menjadi satu kebiasaan lepasan SPM konfius dengan pemilihan kerjaya. Barangkali terlalu banyak pilihan sehingga personaliti pun tidak nampak signifikannya setelah 11 tahun di alam persekolahan. Cita-cita lama entah hilang ke mana.
“Aku minat bidang seni ni. Apa ni.. Seni kulinari?”, kata seorang rakan yang sedang mengisi borang UPU.
“Ambil jelah. Asalkan ada seni”.
“Ey, tau tak seni kulinari tu apa?”, tanya saya tersenyum sinis.
“Seni kulinari ni seni masakanlah!” Dua-dua ketawa.
‘THE CONFUSE COMPLEX’
Kadang-kadang saya kasihan dengan pelajar yang dapat skor straight A, tetapi dapat kursus yang biasa-biasa, tak minat. Gara-gara tersalah isi borang, jadilah mangsa ‘lelong’ UPU dalam tawaran kursus-kursus yang kosong.
Sebenarnya, satu perkara yang normal jika konfius dalam situasi ini. Tetapi, lantaran begitu keliru inilah kadang-kadang tergopoh dalam membuat pilihan.
Dalam keadaan ini, tidak terlambat lagi pelajar lepasan SPM untuk mengenal diri. Di internet, banyak ujian-ujian personality career test yang diiktiraf dan dikaji. Dengan mengetahui secara mendalam signifikan dalaman, insyaAllah dapat memberikan keyakinan dalam membuat pilihan.
ASASI ATAU MATRIK?
Yang paling biasa berlaku, ramai yang memilih matrikulasi kerana 2 sebab. Yang pertama ikut rakan-rakan lama. Yang kedua kerana masih tidak pasti. Tetapi awas, kerana masuk ke matrikulasi masih belum selamat untuk kerjaya. Jika dapat pointer yang rendah, bersiap sedialah disumbat ke kursus ‘lelong’.
Satu pesanan saya, bagi yang dapat keputusan SPM yang cemerlang, elakkan masuk ke matrikulasi kerana dikhuatiri kerana persekitaran baru menyebabkan usaha tidak sama seperti di sekolah dahulu, dalam erti kata lain, pointer rendah. Tetapi, jika anda yakin untuk dapat skor dengan baik di matrikulasi, maka digalakkan kerana matrikulasi boleh dikatakan jalan pintas ke peringkat Sarjana Muda.
Asasi pula adalah matrikulasi yang disediakan oleh pihak universiti. Melalui asasi, pelajar akan lebih fokus dengan pembelajaran yang dipilihnya. Contoh, asasi perubatan akan belajar lebih khusus ketika asasi, berbanding dengan matrikulasi KPM yang hanya terbatas pada pembahagian sains hayat dan sains fizikal.
DIPLOMA KE SARJANA MUDA VS ASASI/MATRIKS KE SARJANA MUDA
Ketika mengisi borang UPU, banyak tawaran yang menyediakan diploma. Ada yang masih keliru dan teringin nak belajar cepat. Perlu diingat di sini, seorang profesional mana ada nak belajar cepat-cepat. Kalau anda mengambil diploma, biasanya tiada asasi, terus belajar antara tempoh 3 atau 4 tahun. Sijil diploma layak untuk bekerja.
Jika anda berhasrat untuk terus belajar ke peringkat sarjana muda JANGAN pilih diploma. Setelah selesai graduasi, ada tempoh paling kurang 6 bulan bercuti sebelum belajar ke peringkat sarjana muda. Ada kursus sarjana muda yang menetapkan pointer tertentu untuk meneruskan pengajian. Kursus sarjana muda sambungan diploma kebiasaannya akan dibahagi setengah tempoh pengajiannya.
Jadi, tempoh pengajiannya sebenar lebih lama jika menyambung pengajian berbanding bermula dengan asasi/matrikulasi.
Bagi yang mengambil asasi/matrikulasi, sijil ini tidak diterima untuk melayakkan anda bekerja. Anda akan terus ke pengajian universiti pilihan bagi matrikulasi, universiti tertentu bagi asasi.
KEKELIRUAN MEMILIH BIASISWA
Ramai yang salah faham bahawa biasiswa ditawarkan sebagai hadiah untuk pelajar cemerlang. Sebenarnya biasiswa memang ditawarkan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang DENGAN kontrak bekerja dengan syarikat yang menawarkan biasiswa itu dalam tempoh tertentu (ada sehingga 10 tahun). Jangan buntang mata dengan tawaran yang biasiswa yang begitu tinggi kerana dikhuatiri setelah grad, anda bekerja sampai tengah malam.
Biar bersusah-susah dulu baru senang. Bukan bersenang-senang baru rasa susah!
-Salah satu tempat persediaan luar negara bagi penerima biasiswa JPA, INTEC-
Pilihlah biasiswa MARA atau JPA. Bagi jurusan perubatan dan kejuruteraan, anda akan mengikat kontrak dengan bekerja di bawah kerajaan dalam tempoh tertentu di bawah tajaan JPA. MARA tidak perlu ikat kontrak, BONUS!
Bagi yang ingin dapatkan biasiswa, teruskan ghairah mencari peluang-peluang biasiswa ini. Kebanyakannya bakal pemilik biasiswa akan ditemu duga. Mulakan menguasai kemahiran ketika ditemu duga.
Biasiswa ini biasanya ditawarkan oleh syarikat tertentu bagi mengisi tenaga pakar sebagai employee mereka kelak. Persaingan sangat sengit. Kebiasaannya mereka menghantar pelajar-pelajar tajaan ini ke luar negara.
Bagi jurusan seperti saya ini, seni bina, tiada syarikat yang memerlukan orang macam kami. Hehe. Arkitek bekerja dengan syarikat kecil. Hanya satu sahaja biasiswa yang menawarkan, iaitu JPA. Ini duit rakyat ya.
DALAM NEGARA VS LUAR NEGARA
Sebenarnya pemilihan antara dalam atau luar negara adalah terpulang pada persediaan diri. Ada yang kerana dapat tawaran luar negara, walaupun kursus yang tidak diminati, dia tetap pergi. Ada juga yang tidak mahu kerana tak mahu pisah dengan keluarga. Saya menegaskan tawaran luar negara tak semestinya lebih baik dari dalam negara.
Kita ambil satu contoh, jurusan perubatan. Di Malaysia sebenarnya sistem perubatan kita sangat bagus. Di Universiti Malaya (UM), pelajar perubatan mesti mendapatkan pointer sekurang-kurangnya 3.8 CGPA, atau dihantarkan keluar negara. Di UKM, negara jurusan pergigian, negara kita pernah diiktiraf antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.
Maka, tidak perlu terlalu mengidamkan luar negara.
Tetapi, bukanlah bererti saya tidak setuju. Ke luar negara bagus sebenarnya memberikan kita perspektif dan suasana baru di negara orang. Ketika itulah anda akan mengenal rasa sebagai masyarakat minoriti. Saya pernah dengar bekas pelajar luar negara menceritakan, terutama di negara-negara white skin, ketika itulah mereka merasakan perlu wujudnya suasana Islam bagi pelajar-pelajar.
Ia mengukir pelbagai pengalaman yang indah.
Untuk merasakan persekitaran ini, cuba-cubalah melayari blog sahabat-sahabat yang berada di perantauan. Tanya pendapat. Jika bersedia, buat yang terbaik di peringkat A level/Ausmat/International Baccelaurate (IB) dan sebagainya.
BUATLAH YANG TERBAIK
Kerana anda sahaja tahu signifikan kenapa anda berada di bumi ini. Anda sahaja yang memahami apa tuntutan, tanggungjawab, anda terhadap keluarga, bangsa dan agama.
Jangan tersilap.
Kerana saya juga keliru ketika keadaan ini dahulu. Saya juga cuba menilai siapa saya ketika itu. Saya juga hampir tersilap memilih kerjaya, (baca episod 11).
Jadilah pelita umat. Sedarilah kekhalifahan kita.
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”(Surah Al-Baqarah : 30)
Wallahu'alam
-Tamat ceritera 1-
Posted by fadhil at 5:38 PM 0 comments Links to this post
Friday, January 1, 2010
Kem Lepasan SPM (KLSPM) siri ke 5 di Kem Sungai Merab.



KAJANG, 25 DIS 09 – Pada 25 hingga 27 Disember yang lepas, seramai 51 orang pelajar lepasan SPM telah mengambil bahagian dalam program tahunan anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Shah Alam-Klang atau lebih di kenali dengan nama Kem Lepasan SPM (KLSPM) siri ke 5 di Kem Sungai Merab.
Program ini juga telah mendapat sambutan di kalangan para sukarelawan dan aktivis PEMBINA. Para sukarelawan yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar IPT dan pelajar luar negara telah memberikan sumbangan yang amat berharga dalam menjayakan program ini. Malah program tahun ini turut mendapat sumbangan dari Karangkraf Sdn Bhd, Pasaraya HERO, Dato’Muhammad Safaruddin Muhd Sidek dan Puan Norlaili Mohd Nor.
Program ini telah di rasmikan oleh Presiden PEMBINA, Dr Kamil Haji Tohiran, yang menyeru para peserta agar mengambil manfaat dari kem ini dalam merancang masa depan pasca SPM. Konsep program yang santai ini di harapkan juga dapat menghilangkan tekanan pelajar yang bertungkus lumus dalam SPM yang lepas.
Kem yang diadakan selama 3 hari 2 malam ni memberi pendedahan, penerangan dan perkongsian berguna bagi pelajar lepasan SPM dalam merangka hala tuju untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT. Antara slot-slot yang telah dibentangkan adalah Penerangan Kursus seperti Kejuruteraan, Perakuanan dan Perubatan, Tips-Tips Temuduga, Peluang Pinjaman/Biasiswa, dan Perkongsian Pengalaman.
Kesungguhan peserta yang datang dari sekitar Selangor, Kelantan, Perak dan Johor terserlah sepanjang program berlangsung walaupun hujan lebat pada hari kedua. Walaupun semua peserta baru berkenalan, kerjasama yang di tunjukkan dalam Persembahan Kebudayaan dan Team Building menggambarkan satu ikatan ukhwah yang erat sesama mereka telah terbentuk dalam program sesingkat ini.
Semoga KLS akan memberi manfaat yang terbaik kepada lepasan SPM 2009. Terima kasih dan penghargaan kepada sukarelawan, aktivis dan semua yang telah memastikan kem ini berlangsung dengan jayanya. Jumpa lagi di KLS 2010!
Insya Allah.
Bagi sesiapa yang ingin melihat perjalanan aktiviti, sila klik di sini.
Posted by fadhil at 10:49 PM 0 comments Links to this post

