Berjaya Dengan Berdakwah



Assalamualaikum buat sahabat blog..

Ingin penulis mulakan dengan kalimah petikan daripada surah Muhammad ayat 7, yang mafhumnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad, 7)

Setiap manusia tentunya menginginkan kejayaan sentiasa bersama-sama mereka sepanjang hayat. Kejayaan pada kita sudah pasti menjanjikan ganjaran, kepuasan, kehormatan, dan segala macam nikmat lagi...


Namun, kejayaan tidak semudah seperti bibir yang mengucapkan. Kejayaan memerlukan pengorbanan. Atas dasar itulah, kejayaan akan cuba dicapai, walau dengan apa cara sekalipun. Biarpun dengan keinginan itu bermakna perlu menghadiri kursus motivasi berminggu-minggu atau mengulangkaji pelajaran hingga dinihari. Malahan, ada juga yang sanggup mengamalkan pelbagai teknik-teknik khas sama ada cara zahir mahupun batin, seperti berjumpa dengan bomoh-bomoh hikmat unuk mendapatkan air jampi, memakai tangkal dan meminta bantuan selain dari-Nya. Nauzubillah.

Tetapi, tidak selalu kita mendengar seseorang itu berjaya dengan berdakwah. Pasti jika kita melihat kepada orang di sekeliling kita ataupun rakan-rakan kita sendiri, kebanyakannya yang berjaya adalah orang yang selalu belajar, rajin bertanya di dalam kelas, ulat buku dan sebagainya. Tetapi mencari seseorang yang berjaya dengan berdakwah, ibarat mencari semut hitam di dalam gua yang kelam. Namun yang pasti, semut hitam itu akan tetap ada di mana-mana sahaja, walaupun mata kasar tidak melihatnya. Malahan, Allah s.w.t telah menjanjikan kejayaan kepada sesiapa yang dipilihnya untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t di muka bumi ini.


Firman Allah s.w.t:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Surah Ali-Imran, 104)


Bukan untuk berbangga-bangga, jauh sekali untuk berasa riya'. Tetapi alhamdulillah, penulis sendiri merasai kebenaran janji Allah s.w.t ini. Penulis percaya dengan berdakwah, kejayaan itu insya-Allah akan berada dalam genggaman. Berdakwah itu mudah, sama ada kita merancang sesuatu program yang membawa kebaikan, itu dikira melakukan berdakwah secara tidak langsung. Apatah lagi jika kita membawa usrah atau halaqah-halaqah ilmu, semuanya dikira berdakwah juga.



Jika kita tidak mampu melakukan seperti diatas, cukuplah sekadar menyampaikan perkara kebaikan pada kawan kita atau mengingatkannya agar menjauhi perkara mungkar, itu bermakna kita sudah menyampaikan dakwah. Kisah berikut adalah contoh mudah:


(Azim dan Farid sedang berjalan-jalan, lalu terserempak dengan seorang pengemis. Azim memberinya sedikit wang, dan dia berlalu. )


Farid : Eh, kenapa anta bagi duit kt dia? Itu mesti sindiket orang mintak sedekah tu.
Azim : Takpelah.. Ana ada rezeki lebih sikit, ana hulurlah pada dia.
Farid : Tapi mana tau pengemis tu beli dadah ke, rokok ke..
Azim : Hish, anta nie.. Kita kena selalu bersangka baik dengan orang, walau macam mana rupa luarannya. Anta suka tak kalau orang bersangka buruk pada anta?
Farid : Mestilah ana tak suka.
Azim : Jadi, kita juga kena selalu bersangka baik pada orang lain. Allah akan membalas setiap amal soleh hamba-Nya, walaupun sekadar berfikir yang baik pada orang lain.
Farid : Terima kasih anta ingatkan ana. Insya-Allah ana cuba bersangka baik selepas nie.



Lihat, siapa kata berdakwah itu sukar? Dakwah tidak memerlukan jubah panjang dan berserban, tetapi ilmu itulah yang lebih penting. Biarlah kita bermula dari sedikit, dan lama-kelamaan, semangat berdakwah akan terus subur dalam jiwa kita, dan akhirnya kita mampu menjadi mas'ul dakwah yang berjaya.


Walau bagaimanapun, cara berdakwah yang terbaik tentulah dengan mengikuti jejak yang pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu dengan memiliki usrah atau halaqah. Tidak boleh tidak, kita akan tetap memerlukan suatu usrah atau halaqah untuk sentiasa memastikan kita memiliki momentum dakwah yang selalu diperbaharui. Tetapi jangan lupa, orang yang berdakwah ini akan selalu dipandang serong oleh kawan-kawan dan masyarakat. Dengan usrah inilah kita akan kembali mendapat semangat untuk terus dan terus berdakwah.


Semoga kita akan lebih terbuka dalam mengejar kejayaan selepas ini. Yakinlah bahawa setiap kejayaan itu berada dalam genggaman Allah s.w.t, dan pada-Nya lah segalanya ditentukan. Namun jangan dilupakan juga, kejayaan yang hakiki adalah ketika kita melangkah ke Jannah-Nya yang indah...




Insya-Allah.