Rasa Bangga Dengan Bangsa



"Eh Jal, tadi aku tengok lagi ramai Melayu je masa academic meeting tadi. Cina ade la sorang dua, India pun lebih kurang, tapi still bangsa kita paling ramai. Ape kau rasa?" luah seorang rakan sekelas kepada Rijal.

Academic meeting bermaksud pertemuan para pensyarah dengan para pelajar yang mendapat point akademik yang kurang memberangsangkan untuk pembelajaran semester sebelumnya. Bertujuan untuk mengetahui apakah masalah pelajar dalam pembelajaran dan cuba membincangkannya dengan pensyarah subjek, kelemahan dan kekuatan pelajar tersebut.

Apapun, pertemuan ini amat-amat ditakuti oleh para pelajar untuk menghadirinya, kerana ia memberi seribu macam perasaan dalam diri, apatah lagi akan banyak pandangan orang padanya. 

Rijal hanya senyap. Dia mengakui hakikat tersebut, bahkan dia juga seorang Melayu yang termasuk dalam kiraan rakannya itu. Sempat bermain di fikirannya, adakah Melayu amat-amat sinonim dengan segala yang negatif di dunia ini?

Baru beberapa hari sebelumnya, Hari Akademik Kolej diadakan di sebuah hotel terkemuka untuk meraikan pelajar yang menunjukkan prestasi dalam kedua-dua akademik dan kokurikulum. Apabila pengumuman senarai pelajar terbaik setiap program dimulakan, rata-rata mereka yang berpakaian baju Melayu, baju kurung, jubah, dan juga mereka yang bernama Mohamad, Muhammad, Nur dan Siti pada malam itu tertunduk malu. Hanya apabila ada dua orang yang nama mereka bermula dengan Abdul dan Nurul disebutkan, barulah mereka yang mulanya tersungul tadi tiba-tiba tersenyum.

Situasi yang hampir sama dengannya sekarang ini.

Mengapakah dua situasi ini seakan-akan sama  dan ibarat dejavu, berulang kembali?

Melihat kembali, terlampau banyak bukti dalam akhbar yang menunjukkan kelemahan dengan bangsanya. Belum campur yang dalam akhbar politik, dalam laporan sosioekonomi, laporan senarai syarikat, laporan statistik bilangan pesakit STD, laporan itu, laporan ini..

Apakah sebegini memang bangsaku, getus hati Rijal. Dia pun akui bahawa dirinya juga termasuk dengan senarai tadi, cuma nasib baik tak keluar dalam akhbar.


Masa terus berlalu.


Suatu hari, dia membelek-belek buku peribahasa adiknya, teringat kembali bermacam-macam peribahasa yang sempat dipelajari masa sekolah menengah dulu. Dah lama tak buat karangan ni, fikir hatinya.

Alah bisa tegal biasa.
Harapkan pagar, pagar makan padi.
Ibarat pungguk rindukan bulan.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.


Tiba-tiba Rijal tersentak. Seakan-akan ada goncangan kuat di hatinya.


Bagai aur dengan tebing.
Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih.
Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.


Terus dibaca pelbagai peribahasa dalam buku itu. Tanpa perlu dilihat maksudnya, kerana semuanya sudah di dalam pemikirannya.

Dia tiba-tiba senyum sendirian, hatinya amat gembira. "Alhamdulilah, terima kasih Ya Allah dengan kekuatan ini," lancar sebutan kalimah tahmid keluar dari bibirnya.

Terlintas di fikirannya sebentar tadi, bagaimana mungkin suatu bangsa yang dilihat dan dikatakan lemah serba serbi, ekonominya, sosialnya, politiknya, boleh memikirkan ratusan, bahkan ribuan peribahasa yang amat indah bahasanya, dan mendalam pengertiannya?

Apakah mungkin susunan perkataan ini boleh terjadi dengan mudah, yang masih kekal digunakan sampai ke hari ini, boleh datang dari suatu bangsa yang lemah pemikirannya?

Tidak mungkin akan lahir senarai peribahasa nan indah ini tanpa pemerhatian yang cukup teliti dan cetusan idea yang teramat bernas bangsa yang memikirkannya?

Menderau satu kekuatan dalam tubuhnya, rembesan hormon adrenalin barangkali.


Sepurnama berlalu.


Tibalah hari yang amat dinanti-nantikan seluruh umat Islam, walau mungkin tidak di negaranya. Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Qurban. Hari Raya Haji. Hari Rabu.  Hari yang sama, tidak banyak yang berubah.



Cuma bezanya, takbir raya bergema di surau kariahnya. Takbir yang sayu, sedu-sedan iramanya. Terdetik rasa sedih dalam hati Rijal, mengalunkan takbir yang sama. Dalam khusyuk bertakbir, tiba-tiba Rijal teringatkan post seorang kawannya di dalam Facebook.



"Takbir raya di Mesir semangat! Berderau darah dibuatnya. Nah, cuba kau dengar sendiri," kata Habib sambil dikirimkan bersama video selama 4 minit para jemaah bertakbir raya di masjid. 

Benar, sungguh semangat. Berbeza dengan yang di tanah air. Lafaz yang sama, kalimah yang sama, cuma iramanya sahaja yang berubah. Irama semangat orang Arab.

Eh, tercetus pemikiran Rijal sekali lagi. Takkan bangsa yang dikatakan lemah pemikiran boleh mengubah nada takbir daripada versi semangat milik orang Arab kepada versi melankolik sinonim dengan bangsa Melayu, tanpa beza lafaz dan makna,? 

Benar, ia tampak amat remeh. Tapi cuba kalau kita sendiri cuba mengubah syair arab yang panjang berjela-jela, kita buat nada dan iramanya dapat dihayati oleh orang yang tidak boleh berbahasa Arab. Hanya menggunakan irama semata-mata. Boleh?

"Eh, siapa yang aku cabar ni?" bingkas hati Rijal. Tetapi dia tersenyum dalam bertakbir. Hatinya juga. 
Syukur, Allah memberikan hidayah untuknya, agar merasa izzah dengan bangsanya sendiri. Bukan bangsanya semata-mata, tetapi kerana agama yang dianuti, dipegang teguh oleh bangsanya itu.

Agama Islam.

Mana mungkin suatu bangsa yang dipandang rendah oleh orang lain, bahkan bangsanya sendiri boleh melakukan sedemikian rupa, tanpa petunjuk dan hidayah daripada Allah?

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.  (Surah Ali Imran:26) 

Mana mungkin umat sesuatu bangsa boleh dipandang rendah, dianggap lemah, tanpa keizinan daripada Allah? Bukankah bangsanya yang melemahkan diri mereka sendiri?

Bisik hatinya, terjawab sudah kenapa ramai rakan sebangsanya yang datang pada academic meeting tempoh hari. Kerana, mereka tidak memerhati keadaan sekeliling dengan teliti, dan tidak berusaha sebagaimana rakan sekelas mereka yang bukan sebangsa dengan mereka!

Dan juga, mereka hanya menerima bulat-bulat rentak irama cakap-cakap buruk dan sikap terhadap bangsanya, sampai mereka jatuh tersungkur, rasa putus asa dengan bangsanya sendiri!

Sepatutnya mereka teliti dengan persekitaran mereka, ibarat menggubah peribahasa, bagimana istiqamahnya nenek moyang bangsa mereka tanpa jemu memerhatikan alam dan berfikir. Mereka juga harus sama, istiqamah dalam meneleah pelajaran, berfikir, dan pada masa yang sama, turut berzikir!

Sepatutnya juga mereka menerima irama atau sikap rakan-rakan mereka yang cemerlang, walau berlainan  bangsa dan agama. Tapi perlulah diperbaiki irama itu mengikut kesesuaian tempat, keadaan dan masa. Agar irama  yang mereka terima itu boleh difahami, dihayati, dan seiring dengan apa kehendak dan tujuan Islam menyuruh pengikutnya menimba ilmu. Untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Dalam gembira dia menyedari hakikat itu, terus dia bersujud syukur pada Allah, atas kefahaman yang diberikan-Nya, menjawab soalan. Allahu akbar, walillahil hamd!



(penulisan yang tidak bermaksud menyuburkan sifat rasisme, sekadar menyuburkan rasa izzah)