Salam bersahabat buat semua. Sudah lama rasanya tak mengetuk papan keyboard ini untuk memperbaharui post pada blog ini. Terima kasih pada mereka yang tak pernah putus-putus bertanyakan khabar blog ini. Semoga kalian dirahmati Allah, insyaAllah..
Ucapkanlah juga Alhamdulillah, kerana Allah masih memanjangkan umur kita semua, walaupun wabak selsema khinzir makin menular, kita masih tetap menghirup udara yang disediakan Allah dengan tenang, walaupun mungkin dibalik topeng muka.
Baru-baru ini, cuti mengejut melibatkan UiTM seluruh negara, termasuk INTEC Shah Alam selama seminggu kerana H1N1 membolehkan penulis kembali membaca akhbar, selepas hampir sebulah tidak mengetahui perkembangan semasa. Salah satu yang terlintas setelah membaca laporan akhbar mengenai penyakit influenza A (H1N1) yang popular ini, kita boleh renungkan bahawa Allah boleh mencabut nyawa dengan apa-apa cara pun, dengan ditembak ketika bersolat, kemalangan jalanraya, pelbagai penyakit kronik, dan kini Allah menghantar binatang yang tidak dapat dilihat, tetapi cukup meresahkan lebih 6 billion penduduk dunia ini.
Dengan binatang atau virus ini, kematian berlaku di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh dijangkiti, hatta kanak-kanak mahupun orang dewasa yang sihat. Kini jelas sekali, semuanya begitu takut akan kematian, walau sedar akan hakikatnya, setiap insan pasti akan meninggalkan dunia ini.
Menulis mengenai kematian ini, cuba kita berfikir sejenak sahaja. Diberi perkataan maut, wafat, mati dan meninggal dunia, apakah yang pertama kali yang akan menerjah kotak pemikiran kita? Fitrah manusia apabila kematian tiba, sanak saudara akan berasa kehilangan, para sahabat rapat akan berasa hiba, malahan sesiapa sahaja yang mungkin pernah berjumpa dengan si mati sewaktu hidupnya, akan menyatakan simpati kepada warisnya. Gambaran kita, selepas kematian itu tiba, berakhirlah riwayat seseorang itu, segala sumbangan dan jasanya akan menjadi ingatan, dan segala kata serta hilai tawanya hanya tinggal kenangan.
Namun, sedarkah kita apabila terbebasnya roh dari jasad, ianya adalah satu permulaan?
Apabila malakatul-maut datang, perjalanan yang tiada akhirnya baru bermula. Kita yang 'menumpang' di dunia akan bergerak ke alam barzakh, kemudian apabila tibanya Yaumul-Qiyamah (Hari Kebangkitan) , akan bergeraklah semua hamba-hamba Allah dalam keadaan tidak berpakaian, keadaan sepertimana ketika kita dilahirkan dari rahim ibu. Pada masa itu, semua manusia pelbagai keadaan dan rupa masing-masing. Ada yang tenang berseri wajahnya, ada yang dalam resah gelisah yang amat, malahan ada juga yang berbentuk seperti haiwan yang teramat hina. Nauzubillahiminzalik.
Atas keadaan inilah, setiap hari kita berdoa kepada Allah sekurang-kurangnya 17 kali sehari:
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Yang Menguasai pemerintahan Hari Pembalasan (Hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (al-Fatihah, 4-5)
Pertolongan Allahlah sahaja yang kita pinta ketika itu. Kemudian, kita akan dimasukkan dengan rahmat-Nya sama ada ke dalam Al-Jannah, ataupun dengan kemurkaan-Nya ke Al-Jahim..
Seseorang pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hambal, salah seorang imam mazhab yang empat selepas beliau disiksa dengan teruk oleh seorang pemerintah kerana tidak mengikut perintahnya mengatakan Al-Quran itu makhluk, dengan berkata, "Bilakah masa tuan berehat?"
Jawab Imam Ahmad, "Aku akan berehat setelah kakiku melangkah di syurga."
Lihat, cukup indah kata-kata seorang yang tidak gentar pada kematian, malahan padanya, tiada masa di dunia ini untuk berehat. Bukanlah dunia ini menjadi tempat berehat, melainkan selepas maut mendatangi kita.
Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Hasan Al-Banna, dalam kata-katanya yang cukup masyhur dalam kalangan para da'ie (pendakwah): "Kerja kita lebih banyak dari masa yang ada."
Harapnya, biarlah kematian yang entah bila tiba ini menjadi permulaan yang baik untuk kita. Penuhkanlah masa hidup untuk berdakwah, berbuat kebajikan atau apa-apa sahaja untuk mencukupkan bekal ke alam akhirat kelak. Bergeraklah dan bertindak sekarang, dan jadikan diri anda pemberi manfaat, bukan penerima manfaat semata.
Dan jangan lupa, akan datang jemputan untuk roh kita tidak lama lagi.
Innalillahi waiina ilaihi rajiuun..
Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali..