Assalamualaikum warahmatullah, dan salam hormat buat para pembaca.
Kini kita telahpun memasuki awal bulan Zulhijjah 1430H yang mulia. Bermakna hanya beberapa hari lagi sebelum kita meraikan Hari Raya Aidiladha,dan lebih kurang sebulan lagi sebelum tahun baru Hijrah 1431H akan menjelang. Subhannallah, begitu cepat masa berlalu. Ibaratnya baru beberapa minggu lepas kita merayakan Hari Raya Aidilfitri..
Itulah masa yang senantiasa berlalu, walau apa jua yang kita lakukan, sama ada perkara itu berfaedah (eg. beribadah dalam konteks yang amat luas, berfikir etc.), ataupun kita menggunakan masa itu lebih banyak untuk melakukan maksiat (eg. juga dalam konteks yang amat luas.) Ada kata-kata yang boleh kita jadikan panduan:
"Kalau kita tidak menggunakan masa kita untuk menyumbang pada kebaikan, maka ketahuilah bahawa kita sedang menyumbang kepada kemaksiatan."
Jelas dan tegas kata-kata itu.
Itulah perlunya untuk kita berubah, kerana adakalanya kita menyumbang kepada kemaksiatan secara tidak sedar, walaupun kita bertegas menafikannya.
Tetapi, sebelum berubah itulah, seni faham perubahan itu perlu jelas terlebih dahulu.
Selalu kita mendengar kata-kata orang sekeliling apabila memperkatakan tentang masyarakat, pasti akan keluar kata-kata ini; "Itulah, kita perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah."
Biasa mendengarkan, atau mungkin juga selalu menuturkan?
Benar, itu kata-kata yang juga amat jelas maksudnya, malahan itulah penawar kepada semua masalah dunia. Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Namun disebalik 5 patah perkataan ini, ibaratnya kita menidakkan semua yang telah dikecapi oleh ilmuan-ilmuan agama kita semenjak zaman para sahabat, tabi'en dan tabi' tabi'en dan selepasnya.
Bukan ingin mencela mereka yang mengatakan, tetapi jangan pula kita lupa segala jerih perih dan susah payah yang telah dilakukan oleh para mukmin yang terus membawa Islam sehingga ke saat ini, dari zaman Khulafa Ar-Rasyidin, Daulah Bani Umayyah, Daulah Bani Abassiyah, dan Daulah Bani Uthmaniah. Bukankah mereka juga menjadikan kalam Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan mereka?
Ibarat sepohon pokok, tumbuhnya merimbun, menjulang ke langit. Dasarnya pula walaupun terlindung dari pandangan, tetapi akarnya tetap dalam menjalar ke bumi. Cuba ibaratkan kita di akhir-akhir zaman ini sebagai pucuk-pucuk pohon itu. Akar yang menyerap khasiat dari bumi, kita ibaratkan sebagai Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pasak agama kita. Dihubungkan pucuk pohon dengan akar oleh batang pohon yang kuat, ibaratnya sebagai tradisi ilmuan-ilmuan Islam sejak kurun terdahulu. Jika kita ingin mempercepatkan sampainya khasiat dari akar itu, mungkin kita akan memotong batang pohon itu agar pendeklah jaraknya. Namun apa yang mungkin terjadi pada seluruh pohon tersebut?
Pasti ia akan mati.
Maka, itulah pentingnya perubahan perlu mendasari Al-Quran dan As-Sunnah, namun tidak dilupakan bagaimana ilmuan-ilmuan Islam terdahulu lakukan. Walaupun mungkin tidak tercatat dalam lembaran sejarah, namun pasti kukuhnya daulah Islam itu kerana tertegaknya agama itu atas dasar tertegaknya agama dalam hati masing-masing.
Bagaimana menegakkan agama dalam hati masing-masing? Itulah perlunya kita pada sahabat-sahabat dan keluarga yang benar-benar memahami Islam secara sebenar, bukan sekadar pada pakaian atau protokol semata.
Bagaimana pula mendapatkan sahabat dan keluarga yang memahami Islam secara benar, dalam keadaan dunia yang cukup bercelaru ini? Itulah perlunya kita pada tarbiyah berpandukan sunnah Nabi Muhammad s.a.w kepada para sahabatnya, biar ia berbentuk usrah, halaqah, daurah mahupun riadah. Biarlah ia didasari atas dasar iman dan tarbiyah, agar kita tidak berubah semata-mata kerana polemik bangsa, perkauman mahupun negara semata-mata.
Marilah makmurkan dunia dengan perubahan, dengan mengubahkan diri kita dahulu dengan tarbiyah Rasulullah dan para sahabat.
Selamat Hari Raya Aidiladha 1430H, semoga dengannya kita dapat membuat perubahan secara progresif dan dinamik pada diri kita.