Penjelasan Sebaran SMS, Emel dan Surat Berantai dan Ramalan (tak perlu forward, sampaikan..)

Assalamualaikum warahmatullah dan salam persahabatan..



Sejak beberapa ketika ini, makin ligat penyebaran beberapa surat berantai kepada rakan-rakan atau mailing to friend list di beberapa laman sosial di Internet.

Walaupun mungkin telah lama isu ini berlaku, namun masih lagi ada segelintir antara kita yang masih ditipu oleh penyebaran SMS, emel, malahan juga surat berantai yang mengatakan "jikalau tidak disebarkan kepada 20 orang dengan segera, maka bala akan menimpa anda dan keluarga anda..", diiringi beberapa kejadian benar yang 'menyokong' kebenaran bala yang menimpa orang yang mengendahkan 'arahan' itu.

Benar, mungkin ada yang beranggapan bahawa niat penghantar SMS, emel, atau surat berantai itu baik, sebagai peringatan bagi mereka, namun hakikatnya, jika sebarang matlamat dikerjakan di atas jalan yang dikhuatiri boleh membawa khurafat dan syirik, mana mungkin perkara itu boleh diterima?


( Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam.".

Lagipun," surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan  SHEIK AHMAD sebagai perawi hadith sesudah  kewafatan baginda".

Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil  8, surat ini "paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada  umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat.


Sesungguhnya ulama’ sependapat bahawa perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si-pengirim.

Termasuk dalam perkara ini ialah dengan mempercayai ramalan binatang-binatang yang tidak mempunyai akal dalam menentukan masa depan. Dalam 'bulan' Piala Dunia terutamanya, keputusan perlawanan bola  akn diramalkan oleh seekor sotong kurita diberi nama Paul. Ramalannya dikatakan amat tepat, bahkan ramai dari kalangan mereka yang bernama Ahmad, Muhammad, Ramlah, Siti dan Muslim selainnya juga terpengaruh dengan ramalan ini.



Subahannallah. Sesungguhnya tiada yang dapat menentukan masa depan selain Allah s.w.t. Tetapi jika kita membenarkan ramalan yang dibuat oleh sotong yang merupakan salah satu makhluk Allah yang amat lemah itu, maka sewajibnya kita kembali bertaubat kepada Allah s.w.t, kerana dikhuatiri kita telah mempersekutukan Allah s.w.t dalam menentukan masa hadapan. Perkara ini amat berkaitan dengan rukun Iman yang
pertama, iaitu Beriman Kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-A’raaf: 131). 


Sesungguhnya perkara mengenai akidah tidak langsung boleh dipermainkan, apatah lagi oleh kita ini yang  masih cetek akal fikiran, yang masih lagi dan akan sentiasa memerlukan hidayah dan petunjuk dari-Nya.
Sesungguhnya bagi para daie', kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya.. Janganlah kita disibukkan dengan perkara-perkara sebegini. Jika ada antara rakan dan sahabat kita yang masih belum memahami, maka berilah kefahaman dan banyakkan berdoa dengan agar satu hari nanti, mereka juga akan menjadi sebahagian dari jemaah yang boleh mengislahkan dan memakmurkan masyarakat, bebas daripada sebarang perkara khurafat dan syirik sebegini..


"Cukuplah Allah sebagai penolong.. " (Surah Ali-Imran: 173)

Marilah kita selepas ini tidak lagi melakukan perkara yang mungkin kita anggap remeh di dunia, tetapi amat buruk akibatnya di akhirat yang kekal abadi kelak..

“Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad). 


Laa haula walaa quwatta illaa billaahil aliyil azim.. Tiada daya dan upaya melainkan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Hebat....


(Pendapat mengenai Paul si Sotong)