"Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam"
Assalamualaikum.
Kelmarin, ISMA Shah Alam-Klang telah menganjurkan Forum Kemerdekaan di Masjid Negeri Shah Alam, Seksyen 14. Inilah kali pertama ISMA secara rasmi menganjurkan sambutan kemerdekaan bersama-sama masyarakat, dan dalam bentuk yang lain dari yang lain. Forum ini telah dipengerusikan oleh Cikgu Asmadi, dan ahli-ahli panel yang cukup hebat dan berwibawa, iaitu Ust. Abdullah Zaik, Presiden ISMA, Ir. Ahmad Jais Alias, Pengarah IKIM.fm, dan En.Aminuddin, Setiausaha Agung ISMA.
Banyak perkara unik pada forum kali ini. Tema kerajaan untuk kemerdekaan tahun ini: "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan." ISMA pula membawa tema "Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam."
Ada sedikit kontra?
Ya, inilah indahnya pandangan kemerdekaan dari perspektif pejuang Islam berbanding perspektif pejuang nasionalis semata. Forum ini banyak membuka ruang untuk berfikir mengenai bangsa dan agama kita. Rata-rata ahli-ahli panel sependapat bahawa kita, Melayu Muslim sedang kalah dan tunduk pada gelombang liberalisasi, globalisasi dan bermacam-macam sasi lagi yang meracuni pemikiran rakyat dan tidak terlepas, pemimpin-pemimpin kita juga. Malah, umumnya parti-parti politik kini sibuk memperjuangkan-tema-tema liberalisasi, dan identiti agama dan bangsa makin melenyap.
Di tengah-tengah kacau-bilau liberalisasi semasa ini, forum ini kembali menunjukkan jalan sebenar yang perlu diambil oleh segenap bangsa Melayu, termasuk orang Melayu yang hilang ke'Melayu'annya. bagi sesiapa yang tidak berkesempatan menghadiri forum ini, telah dicatitkan sedikit sebanyak ilmu bermanfaat yang penulis dapat daripada ahli-ahli panel.
Ust. Abdullah Zaik memulakan dengan masalah bangsa Melayu Muslim ketika ini. Beliau melihat bahawa ahli-ahli politikus kini ibarat tikus membaiki labu, kerana semuanya hanya membawa kepentingan parti politik masing-masing. Tiada parti politik kini yang benar-benar menyeru kepada Islam, dan hampir kesemuanya bercorak liberal dan sekular. Melayu Muslim yang akhirnya akan rugi serugi-ruginya kerana bangsa tiada lagi membawa makna bangsa. Disinilah ISMA memainkan peranan kerana Islam mempunyai banyak persamaan melebihi perbezaan ideologi politik. Politik Ar-Rasyidah, menurut Ust. Abdullah Zaik atau politik yang berteraskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w adalah penyelesaiannya.
Ir. Ahmad Jais Alias pula memberi contoh Kemboja yang bangsa Melayunya telah hilang identiti. Mereka mengaku sebagai keturunan Melayu Champa, namun apa yang tinggal hanyalah bahasa Melayu yang dituturkan generasi tua, yang belajar di pondok-pondok agama menggunakan kitab Melayu Jawi. Nama Melayu diharamkan kerajaan Kemboja, langsung melenyapkan kewujudan orang Melayu di sana. Ini akan berlaku jika identiti Melayu tidak dipertahankan, atau jika kita membiarkan gelombang liberalisasi bangsa diteruskan politikus-politikus masa kini. Ancaman luar termasuk media juga mengapi-apikan masalah ini, yang secara jelas membawa masuk pemikiran-pemikiran yang jelas menyeleweng daripada cara Islam, terutama untuk generasi muda. Beliau memberi misalan Said Hawa, yang memberi contoh TV itu ibarat pedang, pada anak ia amat berbahaya, namun pada yang mahir tidak mengapa. Mereka yang tidak tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah daripada media akan terpengaruh dengan sogokan mereka, dan disinilah media Islami memainkan peranan mengubah senario itu. Akhirnya, beliau menutp dengan kata-kata ringkas, iaitu "Jangan sekadar mengimbau sejarah, lakarlah sejarah baru masa hadapan."
Ahli panel ketiga, En. Aminudin mengaitkan momokan negatif terhadap orang Melayu yang selalu diulang-ulang, seperti Pak Pandir, Mat Jenin dan seumpamanya merendahkan pemikiran kita. Beliau kemudiannya membawa peserta forum menyelusuri kehebatan sejarah orang Melayu suatu ketika dahulu yang diterajui Kesultanan Melayu Muslim Melaka. Ketika itu, 2 kekuatan Melayu terbina, iaitu kerana pengangan Islamnya kuat dan kerana wujud paduan segenap rumpun Melayu. Perkara ini tidak mustahil boleh berulang lagi masa kini. Apa yang boleh setiap individu lakukan untuk mengembalikan kelebihan ini ialah dengan:
1) Memulakan perubahan diri dengan tarbiyah agama, kerana individu membina keluarga, masyarakat, dan seterusnya negara.
2) Mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, agar pemahaman tidak diputar belitkan.
3) Selalu mengembara melihat suasana yang berbeza daripada biasa, agar kita tidak terkongkong dengan persepktif takuk lama sahaja.
Inilah sebahagiannya yang dapat dicedok, mudah-mudahan memberi manfaat. Berdoalah kepada Allah S.W.T agar kita dikurniakan kekukuhan agama dan iman dalam hati, dan agar kesetiaan terhadap bangsa dan agama kita akan terus mengakar, mekar dan merimbun. InsyaAllah.
Salam Ramadhan Kareem.
0 comments:
Post a Comment