Iktibar Belanjawan Malaysia 2010


Assalamualaikum warahmatullah..


Ketika ditulis, seluruh penduduk Malaysia sedang bergembira dan menghitung-hitung bonus dan pelepasan cukai yang bakal diterima pada tahun hadapan, menerusi pembentangan Belanjawan 2010 yang diumumkan pada 23hb semalam. Untuk pengetahuan, antara pembaharuan benjawan yang diumumkan Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I ialah:

(i) Pelepasan cukai untuk langganan yuran broadband sehingga RM 500 setahun bermula 2010

(ii) Pinjaman komputer untuk kakitangan kerajaan dinaikkan sebanyak RM 5000 setiap 3 tahun sebagai langkah meningkatkan celik IT

(iii) 20 sekolah akan dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi tahun hadapan, dengan peruntukan sebanyak RM 20 juta

(iv) PTPTN akan ditukarkan daripada pinjaman kepada biasiswa kepada peminjam yang berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama (First Class)

(v) 100,000 pelajar ijazah akan mendapat komputer riba dan langganan broadband sebanyak RM 50 sebulan; keutamaan untuk pelajar-pelajar Tahun Pertama

(vi) Pengenalan sistem subsidi petrol menggunakan MyKad, bagi mereka yang layak bermula awal 2010

dan lain-lain..

Inilah sedikit sebanyak perancangan kerajaan untuk tahun 2010 akan datang. Tahun hadapan akan menyaksikan kerajaan ingin meningkatkan bilangan celik IT dan internet dalam kalangan rakyat Malaysia. Satu pencapaian yang baik.

Namun, tidak lupa juga bahawa kita harus mengambil iktibar menyediakan belanjawan kita sendiri untuk pendidikan (bagi yang masih belajar), dan juga untuk keluarga kita sejak dari awal lagi. Ini membolehkan kita menganggar pendapatan kita dan perbelanjaan kita, adakah nilai pendapatan masih berbaki atau tidak? Kalau-kalau kita tiba-tiba ditimpa musibah, adakah kita boleh menanggungnya? Soalan untuk diri sendiri..

Tetapi, dalam kesibukan itu, ada juga belanjawan yang sesekali TIDAK boleh dilupakan, iaitu belanjawan untuk alam disana. Tidak, bukan wang ringgit yang menjadi medium pembelian, tetapi untuk menjadi bekal di hadapan Allah s.w.t. Itulah yang digelar amal soleh. Tidak wujud dalam aqidah kita penghantaran "wang kertas" seperti penganut Buddha untuk kegunaan si mati. Tetapi, yang laku hanyalah amalan kita yang tersisa di dunia.

Acapkali kita diingatkan bahawa dunia adalah tempat menunggu, sebelum dipanggil untuk ke akhirat. Sedihnya masih ramai yang memandang remeh perkara ini. Apa yang perlu dilakukan sebenarnya?

Jawapannya mudah sekali:
Galaslah tugas mengubah diri sendiri dan orang lain ke arah yang lebih baik, kerana itulah sebaik-baik tugasan.


Firman Allah Taala:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Dan mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya." (Surah Ali-`Imran: 104)

Ya, itulah ubatnya. Sebaik mana belanjawan yang dirancang kerajaan untuk memakmurkan negara, akan lebih baik jika rakyatnya turut menghayati bebanan tugas amar makruf nahi mungkar ini.

Sesungguhnya, Allah sentiasa memberikan yang terbaik buat kekasihnya, Nabi Muhammad s.a.w. Dan antara yang diberikan-Nya ialah beban berdakwah kepada masyarakat. Bukankah itu tugas yang amat mulia? Sekiranya jawatan CEO syarikat itu yang terbaik, nescaya itulah yang akan diberikan kepada Rasulullah..

Fikirlah sejenak..

Salam beriman dan mengamalkan.

0 comments:

Post a Comment