Cernaan Minda - Lepasan SPM (2)

Assalamualaikum dan salam mahabbah.

Seperti dijanjikan saya akan cuba mengulas apa yang perlu dilakukan sebenarnya oleh pelajar-pelajar lepasan SPM sementara menunggu keputusan mereka. Ini hanyalah cadangan berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan yang lalu.

1-Tambahkan Kemahiran

Antara kebiasaan pelajar lepasan SPM lakukan ialah mencari kerja. Kerja part-time, kerjadi pusat beli-belah (Jusco, Giant dsb.) adalah antara yang popular, kerana ia menjanjikan gaji lumayan selain mudah tanpa perlu kelulusan tinggi. Tetapi, fikir sejenak, adakah sehari-hari kita duduk di kaunter dan mengisi barang dalam plastik, mengira jumlah dan harga barangan memberi kita kemahiran? Mungkin ada, tetapi tidak banyak.


Walaupun kita mencari kerja untuk cuba merasai 'wang titik peluh sendiri', pilihlah pekerjaan yang memberi nilai tambah pada kita, spt. bekerja di nursery pokok yang mengajar kita menanam, menjaga dan memetik hasil tanaman, dan juga tentang cara membiakkan pokok. Salah satu contoh. Ataupun boleh juga kita menghadiri kelas-kelas kelolaan GiatMara yang mengajar pelbagai kemahiran. Sudahlah diajar secara percuma, dapat lagi elaun bulanan!



Luaskan skop pekerjaan yang anda lihat. jangan lihat pada gaji yang bakal didapati, tapi lihatlah kemahiran yang bakal anda perolehi. Mana tahu dengan kemahiran itu anda dapat membuka perniagaan sendiri dewasa nanti?

2- Bina Networking

Salah satu perkara yang selalu pelajar lepasan SPM terlepas pandang ialah masa yang ada boleh diisi dengan membina networking.


Apa itu membina networking?

Networking merupakan membina rangkaian kenalan dalam apa-apa jua bidang atau pekerjaan. Kemahiran ini adalah yang WAJIB dimiliki oleh ahli-ahli perniagaan kerana dengan membina networking, ia dapat membezakan antara untung atau ruginya perniagaan mereka. Meluaskan rangkaian kenalan bukan sahaja membolehkan kita menambah kenalan, malah dapat dijadikan batu sandaran jika ada apa-apa masalah berlaku.

Katakanlah anda orang dari Perak, dan datang ke Melaka dengan kereta untuk menyahut seruan kerajaan "Melawat Melaka bererti Melawat Malaysia." Tiba-tiba kereta anda rosak di tengah jalan. Saudara terdekat anda berada paling dekat pun di Kuala Lumpur. Anda pun pening kepala.

Tiba-tiba anda teringat seorang rakan anda yang baru dikenali semasa pergi ke Konvensyen Pemikiran Hassan Al-Banna (KOBANNA) tempoh hari, berasal dari Melaka. Anda pun menelefonnya, dan dia pun datang membantu. Selesailah masalah anda, dan anda pun dapat meneruskan perjalanan menyahut seruan kerajaan. Mudahkan? Inilah kelebihan membina networking. Anda tidak perlu bimbang bila kesulitan menimpa kerana anda mempunyai kenalan di mana-mana.

Cara membina networking yang baik:
i) Bina kenalan yang berhampiran dengan anda spt dengan Imam surau, Bilal, ketua kampung (kalau ada), pekedai runcit dan lain-lain. Bina dahulu keyakinan untuk berkomunikasi.
ii) Hadiri seminar-seminar atau kem-kem pembangunan diri (spt anjuran PEMBINA)
iii) Sertai laman-laman sosial online spt. Facebook, tetapi perlulah ada dan tahu batasan di sisi syara'.

Hati-hatilah dalam mencari kawan, sebaik-baiknya carilah kawan yang membina personaliti kita, bukan meruntuhkan personaliti.

3- Ulangkaji Pelajaran


Antara masalah yang selalu berlaku di pusat-puasat matrikulasi atau pusat-pusat persediaan ialah: "Saya lupa apa yang saya belajar time SPM dulu"

Inilah antara penyebab utama mengapa jaguh-jaguh SPM yang begitu hebat di sekolah ramai yang kecundang di universiti. kerana tidak mengulang kalji pelajaran, walaupun sedikit, mereka berhadapan masalah untuk mengikuti balik pelajaran mereka. Pentingnya mengulangkaji semula pelajaran SPM ini adalah kerana apa yang bakal anda pelajari di matrix atau pusat persediaan adalah sama dengan apa yang anda belajar sewaktu SPM dulu. Jangan ingat anda akan faham dengan mudah di pusat pengajian tinggi selepas 6 bulan duduk di rumah. Kefahaman yang teramat salah sama-sekali.


Jadi, jika anda berbaring-baring di dalam bilik dan ternampak buku-buku rujukan SPM yang tebal-tebal itu, apa salahnya anda membelek-belek semula apa yang anda pernah pelajari. Ataupun jika boleh, buat kajian tentang apa yang bakal anda pelajari di IPT kelak.

Percayalah, anda tidak akan menyesal di kemudian hari.

4- Bina Keimanan dan Taqwa kepada Allah S.W.T

Inilah sebenarnya yang paling penting. Dulu sewaktu SPM, ibaratnya kitalah orang yang paling hampir dengan Allah dengan solat berjemaah, solat malam, solat hajat, doa yang penuh khusyuk dan khudu', bacaan Al-Quran setiap hari dan lain-lain. Semuanya kerana SPM. tapi dimanakah kita sekarang? Adakah masih berjemaah agaknya? Adakah masih istiqamah membaca Al-Quran dan solat malam? Tepuk dada tanyalah iman.

Inilah waktu yang sebenarnya menguji iman kita. Siapalah kita yang baru lepas SPM dibandingkan dengan Allah S.W.T? Mungkin sebelum keluar result SPM lagi, Allah akan menarik balik nyawa kita. Pernah terfikir?



Oleh itu, isilah masa lapang kita ini dengan memperbanyakkan amalan soleh, dan JANGAN sekali-kali menjauhkan diri jika ada yang prihatin tentang kita, jika ada yang mengajak untuk ke program-program membina keimanan pada Allah, spt. usrah, daurah (kursus), jaulah (kembara), mukhaiyam (perkhemahan) dan sebagainya. Yakinlah bahawa kita dipilih oleh Allah untuk mengangkat Agama Islam ini untuk kembali ke tempat yang asalnya, iaitu mengatasi segala yang lain!!

Wallahu'alam, Allah lebih Mengetahui.

Salam beramal.

1 comments:

Anonymous said...

hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

Post a Comment