Siapakah Belia Pada Masa Hadapan?



Assalamualaikum dan salam bersahabat.

Maafkan kerana sedikit terlambat membuat post yang baharu, semoga post-post yang terdahulu memberi kebaikan kepada kita bersama.

Satu perkara yang berlaku pada minggu ini telah membuat penulis terfikir, iaitu ketika hebohnya kes-kes ragut dan kes pembunuhan di dalam rumah, dipercayai dilakukan oleh 'mat rempit' atau kini dipanggil 'samseng jalanan' dan penagih dadah. Jika kita membaca dengan teliti, umur mereka yang terlibat dengan kes-kes ini masih muda belia, sekitar 20-30 tahun. (Takrifan belia di Malaysia ialah mereka yang berumur 16 tahun hingga 40 tahun.)

Tetapi, satu hikmah yang boleh dilihat daripada kejadian-kejadian ini ialah masyarakat mula mengambil berat kembali mengenai keadaan belia-belia di Malaysia, dan itu ditonjolkan dalam khutbah Jumaat yang disampaikan tempoh hari di masjid-masjid sekitar negeri Johor.


Khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Johor pada 22hb Mei yang lalu bertajuk "Belia Benci Dadah." Mungkin ada di antara para pembaca berpendapat itu hanyalah tajuk yang biasa, dan mungkin sebahagian yang lain berpendapat bahawa itu merupakan slogan yang sengaja dibuat oleh parti-parti politik, dalam usaha mencari sokongan golongan muda. Wa'llahualam. Tetapi, melalui khutbah yang disampaikan tempoh hari, terdapat beberapa petikan khutbah yang boleh kita jadikan renungan, terutama untuk golongan belia.

Khutbah itu dimulakan dengan petikan kata-kata ulama terkenal kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, iaitu: "Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pada golongan belianya. Jika baik akhlaknya, maka akan baiklah masa depan negara itu. Tetapi jika sebaliknya, maka negara tersebut akan lenyap."

Jelas sekali jika dilihat para belia masa kini, apakah yang mungkin terjadi dalam tempoh 20 atau 30 tahun lagi? Siapakah yang bakal memerintah negara nanti? Adakah dia seorang yang beriman, tawadhuk, baik amalannya, atau seorang yang bakal memporak-perandakan negara dengan amalan rasuah, pengkhianatan amanah atau pemimpin yang hanya tahu bercakap tanpa tindakan? Jika pemimpin ini yang kita inginkan, maka tidak akan ada keredhaan Allah keatasnya, dan juga kepada pengikutnya, kerana Allah sendiri berjanji tiada kerahmatan ke atas pemimpin yang zalim.

Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: JanjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah: 124)


Namun, jika yang kita inginkan ialah pemimpin yang baik dan adil, maka belia pada ketika ini perlulah diingatkan mengenai keperluan dan kepentingan ilmu-ilmu agama dan kepimpinan. Cukuplah belia ketika ini dilalaikan dengan program-program hiburan seperti AF, Mentor, atau dengan program sukan seperti English Premier League (EPL), UEFA Cup dan yang sewaktu dengannya.
Tanyakan kepada belia-belia, "Adakah dengan ini semua akan membantu di Akhirat yang Kekal Abadi kelak?"


Khutbah Jumaat ini turut menyentuh tentang tanggungjawab membentuk belia harus dipikul oleh semua pihak, tanpa mengira sama ada mereka adalah ibu bapanya, guru di sekolah, seorang imam masjid, pekedai runcit, jiran sebelah rumah, tukang masak atau pengawal keselamatan. Mengapakah demikian? Ini kerana belia akan berinteraksi dengan masyarakat di sekelilingnya dalam kehidupan, jadi jika baik persekitarannya, akan baiklah sikap belia itu. Dan keadaan akan berubah jika sebaliknya berlaku. Oleh itu, cara terbaik untuk masyarakat membantu belia adalah dengan membantu diri mereka sendiri, dengan cuba mewujudkan suasana kebaikan dan menunjukkan teladan yang baik kepada belia.

Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai'e, Abu Daud dab Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Barangsiapa menunjukkan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan juga pahala orang yang beramal selepasnya tanpa dikurangi pahala mereka sedikitpun.
Dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosa dan juga dosa orang yang beramal selepasnya tanpa dikurangi dosa mereka sedikitpun."

Dan siapakah orang yang paling sesuai menasihati dan membimbing belia itu? Sudah tentulah belia sendiri. Oleh itu, kawan kepada belia amat penting, maka pilihlah dengan hati-hati kerana tersalah pilih, kita akan menderita di Akhirat nanti. Jadilah rakan yang bermanfaat, kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.


Menutup nukilan kali ini, penulis ingin berkongsi sebuah kisah:

Seorang ustaz bertanya kepada seorang remaja, "Apa manfaat yang ditinggalkan pokok kelapa selepas ditebang?" Remaja itu menjawab, "Daunnya dijadikan bekas ketupat, batangnya dijadikan titi, nyirunya dijadikan gula, airnya diminum."

Kemudian ustaz tersebut bertanya lagi, "Bagus. sekarang ana nak tanya, apakah manfaat yang awak ditinggalkan selepas awak meninggal dunia?"

Cuba bayangkan jika anda ditanya soalan itu, apakah manfaat yang akan anda tinggalkan? Ilmu yang bermanfaat? Kebaikan yang berpanjangan? Ataukah ia teknik-teknik ponteng kelas yang berkesan, atau cara meniru dalam peperiksaan? Segalanya ditangan anda, buatlah pilihan sebelum nafas yang terakhir dihembuskan.

Apakah kamu tidak mahu Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah An-Nur: 22)

0 comments:

Post a Comment