Remaja Dan Tarbiyah: Tiada Mungkin Boleh Dipisahkan




Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca yang budiman.
Segala puji bagi Allah kerana atas izin-Nya, masih mengizinkan kita untuk hidup ketika ini.

Bermula pada 6 hingga 9 Jun yang lalu, penulis telah berkampung di Hutan Lipur Ulu Bendul di bawah kaki Gunung Angsi, bagi menjayakan program Jambori Remaja Muslim Nasional. Julung-julung kali diadakan oleh Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) bagi peringkat nasional ini, penulis telah diberikan kesempatan untuk bersama-sama secara langsung dengan team urusetia dan fasilitator bagi program ini.

Sepanjang program yang berjalan selama 4 hari 3 malam ini, tidak terlepas daripada minda penulis bahawa kehadiran ke program ini merupakan aturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Terus-terang pada mulanya agak keberatan untuk penulis meninggalkan keselesaan duduk di rumah dan pergi ke ceruk hutan untuk menyertai program ini, namun setelah melakukan istikharah dengan Al-Quran, akhirnya Allah s.w.t memberikan hidayah-Nya dan membuka hati penulis untuk bersama-sama lebih 290 orang peserta dan urusetia yang lain untuk bersama-sama menjayakan jambori ini.

Sepanjang menyertai program ini, penulis menjadikan diri sebagai fasilitator dan juga sebagai peserta program serentak. Menjadi fasi sebagai menunaikan tanggungjawab, dan menjadi peserta untuk mengenali lebih ramai peserta yang lain yang datang dari seluruh negara. Alhamdulillah, kebanyakan teman baru yang penulis temui berasal dari Shah Alam dan Klang, dan ada yang datang dari jauh di Kedah, dari Perak dan lain-lain negeri. Sebelum ini, penulis seringkali berdoa moga dipertemukan dengan teman yang boleh dijadikan sahabat dunia dan akhirat, dan rasanya telah dikabulkan doa itu oleh Yang Maha Pemurah.

Antara sahabat yang sempat penulis kenali dengan rapat pada jambori ini ialah saudara Iqwan, Danial dan Ishak yang datang dari ISMA cawangan Shah Alam/Klang, dan saudara Najid dan Habib dari Kedah yang selalu didengari nama mereka, namun belum pernah bersua. Maafkan pada yang lain yang nama mereka tidak tertulis di sini. Apa yang menarik, walaupun setiap daripada mereka berasal dari tempat yang berlainan, setiap kata-kata dan pemikiran mereka senada dan seirama, semuanya begitu matang dan petah memperkatakan tentang dakwah dan tarbiyah.

Benarlah firman Allah Taala, bahawa setiap mereka yang menyerahkan diri sebagai penyeru kepada jalan Allah, akan menetapkan diri mereka pada satu jalan sahaja:


Mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuf-108)

Mungkin terdapat prejudis mengenai erti dakwah dan tarbiyah untuk sesetengah orang, namun itulah sebenarnya lumrahnya, kerana dakwah itu duka, sukar dan penuh halangan. Jika masih belum ditemui kesukaran dalam berdakwah, sukarlah untuk kita menemui kemanisannya. Tetapi harus diingati, Nabi Muhammad s.a.w tidak berdakwah sendirian, tetapi dengan para sahabat radiallahuanhum yang lain. Hikmahnya, carilah sahabat yang baik untuk memulakan dakwah, biarpun dakwah itu hanya untuk diri sendiri.


Pengakhirannya, setiap remaja memerlukan tarbiyah, tanpa mengira jika anda seorang pelajar yang akan ke luar negara, anak seorang yang kaya-raya, remaja miskin di celah-celah rumah setinggan, ataupun sesiapa sahaja yang anda rasakan siapa diri anda. Jangan pisahkan diri anda dengan tarbiyah atau pendidikan mengenai agama, kerana remaja dan tarbiyah, tiada mungkin boleh dipisahkan..


0 comments:

Post a Comment